Wednesday, July 20, 2005

SIRI BEDAH BUKU 5

KUPAS-MENGUPAS MAJALAH

MAJALAH ISLAMIA


Oleh: Mohammad Hilmi Ramli



Image Hosted by ImageShack.us



Hari ini Indonesia berhadapan dengan krisis keretakan pemikiran yang hebat di kalangan umat Islam. Negara penduduk Islam paling ramai di dunia ini telah mengalami serangan pemikiran yang rencam di kalangan orang yang bergelar Islam sendiri mahupun orang bukan Islam. Dilema kehadiran kelompok Islam Liberal yang mendapat tajaan Yahudi dengan idea-idea seperti menolak autoriti ulama, membenarkan Muslimah kahwin lelaki ahli kitab, menuntut tafsiran Quran yang relatif, memaksa kaedah tafsir Quran kepada Hermeneutika dan banyak lagi kebobrokan yang mereka jajakan menggesa sekelompok anak muda tanah air Indonesia untuk membela kebenaran tradisi keilmuan Islam.

Justeru itulah, kelompok anak muda kelulusan pesantren dan juga mendapat pendidikan tinggi di ISTAC Kuala Lumpur dalam bidang pemikiran dan peradaban Islam telah bangkit dengan melancarkan Majalah Islamia ini sebagai medium untuk meyampaikan kebenaran. Menurut ketua editor majalah ini, Hamid Fahmy Zarkahsyi, ISLAMIA bangkit tepat pada masannya ketika lambakan bahan-bahan bacaan produk Islam Liberal membanjiri pasaran buku Indonesia. Ketika inilah ISLAMIA menyajikan kebenaran yang hakiki yang menepati syariat.

Ketika Indonesia diserang dengan fahaman bahawa hermeneutika perlu digunakan menggantikan pentafsiran Quran, ISLAMIA menjelaskan segala-galanya misi jahat Islam Liberal ini. Heremnuetika adalah pentafsiran yang digunakan dalam Bible, yang sudah tentu Bible mempunyai masalah dalam sejarah, teks, periwayatan dan bahasa. Maka sama sekali tidak perlu digantikan dengan kaedah tafsir yang kita gunakan.

Adian Husainy, penulis prolifik, yang pernah mendapat pendidikan dalam bidang perubatan haiwan dan menjadi wartawan membongkar dengan penuh ilmiah dan akademik akan problem teks Bible dan Hermeneutika. Beliau mengatakan problem pemahaman teks sesuatu agama tidak dapat diselesaikan oleh kedah pemahaman teks agama lain. Sebagaimana juga problem undang-undang sesuatu negara tidak dapat diselesaikan oleh undang-undang negara lain. Menurutnya lagi, berbagai kajian di kalangan cendekiawan Kristian sendiri menunjukkan bahawa teks Bible baik secara historis mahupun teologis memang bermasalah.

Majalah yang membawa misi penjernihan pemikiran dan peradaban Islam yang murni ini membawa satu lagi pemahaman yang hangat di Indonesia iaitu mengenai pluralisme beragama. Ini bermaksud kepelbagaian agama yang wujud di muika bumi ini sama sahaja dalam mencari kebenaran. Justeru itu, tiada satu agama pun yang boleh mengklaim agama mereka benar. Sidang editor ISLAMIA telah menemuramah Dr. Anis Toha, pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa dan mengupas sejarah asal-usul perkembangan idea ini dan kesannya pada masyarakat hari ini.

Dr. Anis Toha berkata, melihat konteks pluralisme dalam Indonesia, kita tidak perlu menghabiskan energi sehabis mungkin untuk menentang idea ini, bahkan pendeta Kristian mereka turut tidak bersetuju dengan idea ini. Menurutnya lagi, jika idea ini dikembangkan di negara yang majoritinya penduduk Islam, maka sangat menguntungkan sekali proses de-Islamisasi.

Kupasan menarik yang sarat dengan nilai akademik dan ilmiah ini sesuai untuk para pembaca yang mengambil jurusan pengajian Islam, pensyarah, intelektual, ulama mahupun golongan yang terlibat dalam dasar-dasar pendidikan negara. Ini kerana berkait rapat dengan situasi di Indonesia sendiri apabila 2 buah universiti iaitu Universiti Islam Negeri, Jakarta dan IAIN Sunan Kalijaga, Yogyakarta, heremenutika dalam Quran telah diajarkan di jurusan tafsir hadis fakulti usuluddin.

Ini adalah petanda buruk bagi tradisi ilmiah pengajian Islam apabila kaedah mentafsir Bible diadaptasi dalam Quran. Idea hermeneuitika ini berbahaya kerana membuahkan pentafsiran Quran yang bersifat relatif atau nisbi-nisbi kelak. Maka hasilnya, setiap orang mempunyai tafsiran tersendiri mengenai sesuatu ayat dalam Quran.

Justeru, pelancaran ISLAMIA telah berjaya mendapat sambutan di Indonesia, dan baru-baru ini dilancarkan di Malaysia bertempat di Universiti Islam Antarabangsa. Malah ISLAMIA juga akan ke Cairo, Mesir bagi memenuhi permintaan penuntut sana akan sebuah majalah yang mampu membela kebenaran dan keadilan tradisi ilmu Islam.

Selain itu, ISLAMIA membariskan tulisan Prof. Dr. Wan Nor Wan Daud, bekas Timbalan Pengarah ISTAC, Dr. Ugi Suharto, Dr. Adi Setia, Malki A Nasir, Harif Susmana dan menjemput ramai lagi bakal penulis yang berminat untuk menyumbang artikel ilmiah dalam bidang pemikiran dan peradaban Islam.

Pembaca di Malaysia perlu mendapatkan ISLAMIA kerana dalam masyarakat majmuk berbilang kaum ini, kadang kala kita terperangkap dengan kehendak pemerintah dan unjuran Ilahi. Misalnya dalam Kongsi Raya yang giat diadakan di sini, apakah atas nama perpaduan kita menyokong perayaannya? Ini jika tidak diperhalusi maka angin pluralisme akan semakin meniup kencang dalam pemikiran umat lalu mengambil kira semua agama perlu diraikan dan jadilah semua agama sama. Maka ISLAMIA membuka nazrah (pandangan hidup) kita sebagai umat Islam dalam menghadapi kekeliruan pemikiran yang melanda hari ini. ISLAMIA bukan sahaja majalah biasa , tetapi medium membina kerangka pemikiran Islam yang sederhana dan kukuh akarnya.

*Pembaca boleh melayar laman sawang INSIST di www.insisnet.com