Sunday, June 19, 2005

TINTA MUSAFIR 1

PENGALAMAN DI ISTANBUL: PENGAJARAN UNTUK GERAKAN PELAJAR

Oleh: Muhammad Hilmi bin Ramli


Berada di Istanbul, Turki pada 27 Mei- 3 Jun 2005 mewakili Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sungguh mengkayakan pengalaman saya. Kaya dari segi sejarah tamadun Islam dan pendedahan isu keantarabangsaan. Saya mewakili PKPIM bersama En. Ahmad Azam bin Abdul Rahman, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dijemput untuk menghadiri persidangan International Islamic Federation of Student Organization (IIFSO) di Istanbul, Turki. Di samping persidangan itu, kami juga menjadi tetamu jemputan untuk sambutan 'Pembukaan Kota Konstantinople' yang diadakan setiap 29 Mei setiap tahun dan peserta Economic and Social Researches Center (ESAM) Convention yang menjadi himpunan gerakan Islam sedunia.

Selain PKPIM, turut berada di Istanbul ialah dua orang wakil Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) iaitu saudara Najmudin bin Mohd Nawi dan saudara Mohd Mujahid bin Mohd Nasir. Mereka ditugaskan untuk mempelajari bahasa Turki di samping mengkaji sejarah Turki yang kaya dengan sejarah Uthmaniah.

Saya bersama En. Ahmad Azam berada selama seminggu di kota Istanbul. Pengalaman tiga hari awal kami menjadi tetamu Parti Saadat, sebuah parti Islam yang dipimpin oleh Najmudin Erbakan. Najmudin Erbakan, atau panggilan popular di kalangan penyokong- penyokong parti beliau ialah 'Mujahid Erbakan' merupakan tokoh yang berpengaruh di Turki. Pengalaman memenangi pilihanraya nasional dan seterusnya menjadi Perdana Menteri Turki yang membawa elemen Islamisasi Turki menjadikan beliau sosok yang cukup berpengaruh dan popular. Kemudian setelah disingkir oleh tentera setelah menjadi Perdana Menteri, menjadikan sokongan simpati rakyat terhadapnya tidak berbelah bagi.

Saya bersama En. Azam menjadi tetamu program Parti Saadat untuk tiga program utama iaitu, persidangan IIFSO, sambutan 29 Mei dan Economic and Social Researches Center (ESAM) Convention.

IIFSO merupakan badan pelajar internasional yang berpengaruh sejak penubuhannya, iaitu hampir 36 tahun. IIFSO mempunyai dua kejayaan besar iaitu menerbitkan dan menterjemahkan buku- buku tentang Islam semasa yang sudah tersebar ke seluruh negara. Yang keduanya, IIFSO telah mengumpulkan banyak pergerakan pelajar seluruh dunia untuk bernaung di bawah nama IIFSO. Akan tetapi, mutakhir menyaksikan ada masalah dalaman yang menyebabkan pergerakan IIFSO terencat, terutamanya selepas kejadian 9/ 11 di Amerika.

Manakala setelah itu, kami dijemput ke sambutan 29 Mei, sambutan pembukaan Kota Konstantinople yang ditukar kemudian kepada Istanbul. Sambutan ini diadakan di Stadium Ismetpasha, Izmir. Perjalanan dari Istanbul ke Izmir lebih kurang dua jam dengan menaiki bas. Saya bersama En. Azam sekali lagi menjadi tetamu khas kepada Parti Saadat di dalam program ini. Sambutan 29 Mei ini memperingati usaha Sultan Muhammad Al- Fatih, seorang pemuda berumur 21 tahun yang menakluki Kota Konstantinople pada 1453 yang kemudian ditukar kepada Istanbul. Pembukaan kota Istanbul ini memberi signifikan yang besar kepada tamadun Islam. Malah pembukaan ini adalah sebahagian daripada janji Rasul SAW yang mengatakan bahawa 'kota ini' akan dibuka oleh sebaik- baik ketua dan sebaik- baik tentera. Maka Muhammad Al- Fatih adalah orangnya.

Sambutan ini sungguh meriah dan meransang semangat setiap orang yang berada di situ. Pekikan orang menyambut ketibaan Erbakan bersama beberapa tokoh gerakan Islam menjadikan suasana lebih riuh. Dalam program itu, selain demonstrasi penaklukan Kota Konstantinople, para tokoh gerakan Islam turut memberi ucapan ringkas. Antara tokoh gerakan Islam yang berada di situ yang memberi ucapan ialah Ustaz Abdul Hadi bin Awang, Presiden Parti Islam Malaysia, Mujahid Rabbani, Amir Jamaat Islami Afghanistan dan beberapa tokoh lagi dari Sudan, Arab Saudi, Pakistan dan lain- lain. Malah ucapan Erbakan adalah kemuncak bagi program itu apabila beliau memberi rangsangan semangat kepada para penyokong beliau.




(Sambutan 29 Mei di Izmir)


Kemudian, program seterusnya ialah Economic and Social Researches Center (ESAM) Convention, yang diadakan di Eyup, Istanbul. Mesyuarat ini adalah perhimpunan seluruh gerakan Islam sedunia bagi membincangkan isu- isu umat Islam. Saya memandang bahawa ini adalah satu usaha alternatif yang diusahakan oleh Erbakan bagi menggantikan fungsi Organization of Islamic Conference (OIC) yang kelihatan tidak bermaya disebabkan dipimpin oleh mereka yang ada jawatan politik dalam negara. Maka ini adalah platform baru yang cuba untuk mewujudkan G8 of Islamic State, atau Kumpulan 8 Negara Islam. Idea Erbakan ini adalah respon kepada G8 yang mengumpulkan negara- negara kaya sedunia seperti Amerika, Jepun, UK dan lain- lain lagi, yang mesej utamanya ingin bebas dari pengaruh pemimpin politik negara..

G8 of Islamic State ini ingin menghimpunkan negara- negara Islam yang berpengaruh seperti Malaysia, Turki, Pakistan, Afghanistan, Bangladesh, Sudan, Arab Saudi dan Mesir. Pada hemat saya ini masih di peringkat idea yang boleh diperbaiki dan diperhalusi. Pada program ini, ramai wakil dari negara Islam seluruh dunia terutamanya para pemimpin gerakan Islam berbincang mengenai isu- isu umat Islam.

Kemudian setelah tiga hari menjadi tetamu Parti Saadat, kami menjadi pula tetamu kepada aliran pemikiran Said Nursi Badiuzamman, yang pendekatannnya kepada dakwah dan pendidikan. Jika sebelum ini pendekatan yang kami perhatikan ialah kepada pendekatan politik dan kuasa, maka ianya sudah bertukar 180 darjah!

Said Nursi Badiuzzaman, tokoh 'Revivalist' Islam pada awal kurun ke- 20 telah berjaya mempertahankan nilai- nilai Islam sehingga hari ini. Beliau adalah tokoh yang paling dikenali ketika saat- saat Turki menjadi sekular oleh Kamal Ataturk. Usaha beliau mengerakkan umat Turki supaya berpegang kepada nilai- nilai Islam amat dikenang sehingga hari ini. Separuh daripada umurnya dihabiskan di penjara sehingga mampu melahirkan karya agungnya iaitu Risalah An- Nur yang menjadi bacaan generasi baru Turki yang sedar tentang Islam. Beliau meninggalkan ramai anak murid, akan tetapi yang paling dikenali iaitu Fethullah Gulem. Beliau amat dikenali kerana berjaya mengemaskini ajaran Said Nursi dalam bentuk- bentuk yang praktikal dan menjadi model yang berjaya.

Antara model yang berjaya ditonjolkan hasil ajaran Said Nursi ialah syarikat TV Samanyolu, surat khabar ZAMAN, Kolej dan Universiti Fatiih, badan Association of Social and Economic Solidarity with Pacific Countries (PASIAD) dan ada banyak lagi. Saya berpengalaman melawat setiap agensi dakwah yang mempunyai aliran pemikiran Said Nursi seperti di atas. Mereka ini membawa aliran dakwah Said Nursi yang mementingkan dakwah dan pendidikan melalui media akhbar dan elektronik dan institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti.

Said Nursi dalam satu buku beliau melontarkan idea futuristik yang mengatakan bahawa penguasaan kepada media dan pendidikan untuk menyebarkan dakwah pada masa hadapan berupaya memberi keuntungan besar kepada dakwah Islam. Idea beliau ini dikemaskini oleh Fethullah Gulem lalu beliau menggerakkan penubuhan beberapa agensi dakwah seperti yang telah wujud hari ini.



(Syarikat akhbar ZAMAN yang diambil nama seakan- akan Said Nursi Badiuzzaman)



Aliran dakwah Said Nursi ini mempunyai pengaruh yang kuat sehingga ada suatu ketika, En. Azam apabila berjumpa pengetua Kolej Fatiih, apabila beliau mengatakan beliau membaca karya Said Nusri, pengetua itu terus memeluk dan mencium tangan En. Azam. Ini adalah bukti kata- kata Said Nursi bahawa karya beliau kelak bukan sahaja berada di bumi Turki, akan tetapi tersebar ke seluruh dunia. Ini yang meyakinkan pengetua Kolej Fatiih itu bahawa karya Said Nursi terus relevan walaupun sudah meninggal dunia.

Kesimpulan dari menjadi dua tetamu yang berbeza di Turki memberi pengajaran yang besar kepada saya. Secara umumya, apabila dikatakan pendekatan politik dan kuasa, ianya akan melibatkan competition sesama parti yang wujud untuk mencapai matlamat masing- masing. Manakala pendekatan dakwah pula, akan mewujudkan cooperation environment, yang bertujuan mengajak semua orang menuju matlamat yang sama.

Dalam konteks dunia hari ini, kedua- dua pendekatan saling bantu- membantu. Tekanan politik (political pressure) diperlukan dalam keadaan rakyat dizalimi. Manakala dakwah melalui pendidikan kepada orang ramai juga penting dalam memastikan umat ke hadapan. Akan tetapi jika terlalu obses dengan satu sudut sahaja akan membahayakan ruang lingkup pergerakan kita.

Dalam konteks badan dakwah seperti PKPIM pula, sudah semestinya aliran dakwah dan pendidikan perlu diperkasakan. Pendekatan pendidikan dilihatkan kurang popular, akan tetapi ia mampu memastikan survival PKPIM mampu bertahan. Pendidikan bagaimana ditekankan? Sudah tentu melalui penekanan yang lebih kepada ilmu- ilmu warisan Islam (baca: Al-Quran dan Tafsir, Hadis, Fiqh, Arab dll) dan kemudian baru penguasaan ilmu semasa (baca: IT, pengurusan, sains, komunikasi dll). Budaya ilmu perlu ditekankan, budaya picisan perlu disingkirkan. Kadang kita terlalu obses dengan penguasaan ilmu semasa menyebabkan asas- asas agama kita rapuh, lalu banyak program yang diadakan tidak mendatangkan keuntungan yang besar. Ini kerana kita tidak menyelesaikan masalah yang asasi, tetapi masalah yang tidak sepatutnya.

Malah, selain memperkasakan sistem pendidikan melalui usrah, kuliah dan tamrin, PKPIM perlu mempunyai 'branding' yang menonjolkan imej PKPIM. 'Branding' ini boleh diwujudkan melalui program, institusi atau penerbitan. Ini penting bagi memastikan fokus jangka masa panjang PKPIM terlaksana.

Usia muda adalah waktu terbaik untuk belajar. Justeru, jika ada kesalahan, itu adalah guru yang terbaik. Dan biarlah tarbiah atau 'madrasah PKPIM' akan datang mampu melahirkan manusia yang berjasa dan berguna untuk keluarga, umat, negara dan agama Islam itu sendiri.

No comments: