Tuesday, June 21, 2005

SIRI BUDAYA 1

BUDAYA MENULIS

Muhammad Hilmi Bin Ramli


Image Hosted by ImageShack.us


Seringkali kita berfikir, menulis adalah satu kelebihan, atau bakat yang ada pada seseorang. Tetapi pada saya ianya adalah satu kemahiran yang boleh dilatih. Malah ianya boleh dipelajari dari semasa ke semasa. Sebagai seorang mahasiswa, bekas pelajar atau pemuda mustahil bagi mereka tidak tahu menulis. Ini kerana mereka sudah melaluinya ketika di alam kampus iaitu ketika menulis assignment, kerja rumah, artikel atau sebagainya. Lainlah kalau semua kerja yang dibuatnya itu mempunyai unsur- unsur jenayah akademik, iaitu plagiarisme. Mungkin itu menyebabkan tiada keberkatan dalam menulis.

Semangat menulis memerlukan budaya membaca. Budaya membaca adalah jelmaan kepada budaya cintakan ilmu. Apabila memperkatakan budaya ilmu, seringkali orang terbayang, mamat memakai cermin mata besar terperuk di perpustakaan, atau minah yang pandai berpidato sehingga memukau pendengar- pendengar. Atau mereka yang asyik dengan buku sehingga lupa dunia. Mereka ini boleh jadi antara yang cintakan ilmu. Akan tetapi bukanlah ini sebenarnya imej budaya ilmu yang sewajarnya.

Budaya ilmu, sudah dijelaskan oleh Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, 'Penjelasan Budaya Ilmu' (Buku yang mesti dibaca!) secara mudah menjelaskan budaya ilmu adalah keadaan masyarakat mementingkan ilmu dalam keadaan apa jua. Di samping itu, segala budaya- budaya yang tidak ada unsur ilmu ditolak. Budaya popular berlebihan ditolak. Budaya picisan ditolak. Artikel Ku Seman Ku Hussin di Utusan Malaysia pada (20/ 6/ 05 Isnin) bertajuk "Jacko menghina Intelektual" adalah satu artikel yang menepati zaman ini. Beliau mengkritik Jacko yang menjadi alat dagangan pasaran untuk menjadi ikon dalam masyarakat. Padahal sebenarnya beliau bukanlah ada sumbangan seni yang tinggi dalam masyarakat. Cubalah kita perhatikan lagu- lagu beliau, tiada mencerminkan nilai seni sesebuah lagu. Yang ada hanya budaya pop. Malah banyak orang pula yang masih memuja beliau dalam keadaan yang langsung tiada sumbangan.

Apabila nilai- nilai ini disemai, maka ianya menjadi darah daging kepada masyarakat itu. Maka itulah yang kita dapat perhatikan dalam masyarakat kita. Akan tetapi jika nilai ilmu atau idealisme mencintai ilmu disemai dalam masyarakat, maka sudah tentu budaya ilmu itu akan terjelma. Dan apakah ini mustahil?

Saya katakan tidak. Ulama- ulama terdahulu mempunyai tradisi ilmu yang kuat, dan seterusnya mampu menghasilkan magnum opusnya yang masih kekal sehingga hari ini. Itulah yang dikatakan bahawa membaca- menulis ibarat irama dan lagu. Sebagai contoh, Imam Abu Hanifah (meninggal 767 M), seorang peniaga kain, seringkali mengadakan perbincangan ilmu dan fiqh di kedai kain. Malah beliau juga mampu menghasilkan mazhab beliau sendiri.

Hakikatnya, nilai mencintai ilmu adalah berterusan ke akhir hayat. Mengapa kita melihatkan keadaan remaja, pemuda hari ini tiada sikap seperti Nabi- nabi dan ulama- ulama terdahulu. Nabi Sulaiman sering bermain- main di istana ayahnya, Nabi Daud. Sehingga dalam satu kes, ada seorang yang bertanya tentang sesuatu hukum kepada Nabi Daud, lalu Sulaiman mendengar dan memberi pendapatnya. Nabi Muhammad SAW sendiri dipelihara untuk tidak hadir ke majlis pesta Orang Kuraish, apabila Baginda ditidurkan Allah. Imam Syafiee menghafal Quran ketika berumur tujuh tahun, dan menghafal pula kitab Al- Muwatta Imam Malik ketika berumur 10 tahun, dan kira layak mengeluarkan fatwa ketika berumur 15 tahun. Ibn Sina pula menguasai ilmu Quran, Hadis, Fikah, matematik, sejarah, sastera, ilmu kalam serta falsafah dan habis belajar ketika berumur 21 tahun. Malah Muhammad Al- Fatih membuka kota Konstantinople ketika berumur 21 tahun!.

Barat mencipta generation gap yang membayangkan bahawa usia remaja adalah satu usia yang unik, satu perpindahan usia di antara zaman kanak- kanak ke zaman dewasa Oleh kerana itu, itu adalah lumrah jika remaja ada melakukan jenayah, nakal, malas, banyak main, enjoy, dan sebagainya. Ini dikritik oleh Dr. Wan Mohd Nor dengan mengatakan, dalam Islam tiada ruang unik yang diistilahkan oleh Barat hari ini. Ini sebenarnya satu usaha untuk memisahkan kemampuan ilmu yang dimiliki oleh golongan remaja dengan golongan dewasa. Contoh sejarah Islam sudah menyaksikan bahawa zaman remaja bukanlah zaman berseronok- seronok seperti yang dikatakan oleh sesetengah orang hari ini. Ada yang mengatakan, "Zaman muda sekali sekala, apa salahnya seronok! Bolehlah kita berfoya- foya!". Sudahlah macam tu, golongan muda inilah menjadi sasaran kelompok kapitalis untuk memperdagangkan produk mereka. Lihatlah berapa ramai yang menjadi mangsa 'hiburanisasi' yang melampau.

Justeru, budaya ilmu akan meransang kita untuk menulis. Pak Hamka mengatakan, "Suatu masa kita akan 'memuntahkan' kembali segala macam yang kita sudah baca itu". Maka, budaya menulis perlu disemai di kalangan masyarakat kita, terutamanya bagi golongan muda. Tanpa penulisan, maka generasi masa depan tidak tahu apa yang berlaku sekarang. Menulis adalah kemahiran yang bersandar kepada cintakan ilmu, bukan sekadar bakat.

No comments: