Friday, May 13, 2005

ISLAM LIBERAL, ISLAM TANWIRI, ISLAM HADHARI, ISLAM PROGRESIF...

ISLAM LIBERAL, ISLAM TANWIRI, ISLAM HADHARI, ISLAM PROGRESIF...



Image Hosted by ImageShack.us


"Eh, berapa banyak Islam daa.." mungkin begitulah kata- kata Aziz Satar jika beliau masih dibenarkan berlakon lagi dalam filem Bujang Lapok Millenium. Mungkin ada di kalangan kita yang tertanya- tanya, mengapa sejak akhir- akhir ini semakin banyak trend untuk membangkitan kesedaran tentang Islam dengan membawa Islam versi masing- masing. Ada yang ingin membawa Islam yang bertamadun, ada yang ingin membawa Islam yang progresif, ada yang membawa Islam 'enlightement' dan segala macam lagi. Persoalannya mengapa ini boleh berlaku? Dan siapa aktor- aktornya? Dan apa tujuan murni mereka?

Bukankah ini satu kekeliruan yang nyata. Apakan tidak nyata, bagaimana boleh kita membenarkan Islam mempunyai bermacam- macam wajah seperti itu. Islam yang perlu kita fahami ialah Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW, yang disampaikan melaluinya Al-Quran dan Hadis. Islam sebagai sebuah agama dan nama sebuah agama mempunyai ciri- ciri khas yang membezakan dengan agama yang lain. Islam sahajalah yang dikitiraf sebagai agama wahyu yang akan terpelihara oleh Allah swt sehingga hari kiamat. Ini berdasarkan dalil A-Quran," Sesungguhnya kamilah yang menurunkan Zikra (AL-Quran) dan kamilah yang akan menjaganya".

Justeru, kita pada zaman ini boleh jumpa macam- macam Islam yang kita ibaratkan; sebuah pasar malam yang menjual minyak atar dengan nama- nama yang sedap dan malah menggairahkan seperti Malaikat Subuh, Bidadari, Limau, Cenkudu, Kabur Barus dan sebagainya. Kepelbagaian ini membuatkan pelanggan rambang mata dan mempunyai minat yang tersendiri. Mana yang wangi dan sedap akan dipilihnya, manakala mana yang bau tidak sedap ditinggalkannya.

Dalam konteks pelbagai jenama 'Islam' yang berlaku hari ini, ianya adalah respon daripada umat Islam yang lemah dalam menghayati agama Islam dan sekaligus membuka ruang kepada musuh untuk memburukkan dan merosakkan agama Islam itu sendiri. Musuh- musuh Islam bukanlah susah hendak kita kenali, bukankah ketika zaman Nabi SAW sendiri wujud kelompok munafik, kafir, murtad dan Yahudi. Cumanya mereka ini bergerak perlahan kerana ketika itu umat Islam mempunyai kekuatan yang menggerunkan dari segi tahap keimanan, ketenteraan, ilmu dan sebagainya.

Akan tetapi hari ini sudah terbalik. Umat Islamlah yang paling mudah dilanyak- lanyak dan dipermain- mainkan. Dalam konteks kelemahan umat Islam hari ini, muncul beberapa gerakan yang ingin mengkucar- kacirkan lagi kemelut yang melanda umat Islam, iaitu dari segi serangan pemikiran. Sebagai contoh, slogan Islam Liberal, Islam Tanwiri dan sebagainya mempunyai kesan yang menggelirukan umat Islam. Slogan yang ingin memurnikan ajaran Islam ini dengan membawa konsep- konsep sekularasasi dan liberalisasi dari luar sebenaranya terpengaruh dengan sejarah agama Kristian yang menjadi mangsa sekular dan liberal.

Sejarah Islam dengan agama- agama lain adalah tidak sama. Kristian memang telah berlaku korupsi yang paling buruk dalam sejarah agama- agama di dunia. Sikap gereja yang anti ilmu, mengongkong masyarakat daripada membuat keputusan dan menjual sijil- sijil penebusan dosa menjadikan satu respon reformasi yang dianjurkan oleh Martin Luther. Beliau mempunyai sebab yang kukuh untuk menentang gereja. Kerana gereja bukan setakat mengongkong manusia, akan tetapi juga melanggar hak asasi manusia apabila melarang individu untuk menuntut ilmu. Sejarah ini membantu lahirnya kelompok pemikir seperti Kant, Hobes, Locke dan sebagainya untuk menentang ajaran gereja dan mengangkat martabat akal setinggi- tingginya. Kemudian, berlaku perubahan drastik yang menyebabkan sains dan teknologi semakin pesat berkembang akibat memaksimumkan akal dengan sepuas- puasnya. Ketika inilah juga menandakan 'The Death of God', merujuk kepada karya Friedrick Nietzche, apabila beliau melahirkan rasa pasrah kerana Tuhan mereka (rujuk kepada agama Kristian) tidak dapat melawan kekuatan akal manusia yang dianggap 'The Most Absolute Creation' dalam kehidupan manusia.

Sehingga hari ini, idea sekular dan liberal masih mengakar kuat dalam agama Kristian. Oleh itu, jika kita telusuri gerakan Islam Liberal misalnya, mereka membawa tema dekonstruksi syariat Islam seperti mana yang pernah berlaku dalam agama Kristian. Islam Liberal, yang berpusat di Utan Kayu, Indonesia cuba untuk merungkaikan syariat Islam dalam jasad umat Islam. Malah mereka ingin membenarkan pentafsiran Al-Quran secara terbuka tanpa mengira dia ulama, pak cik kebun, pelajar, kerani atau sebagainya. Gerakan ini yang bernaung bawah Jaringan Islam Liberal mendapat tajaan penuh oleh Asia Foundation, sebuah syarikat milik Yahudi dan mempunyai kekuatan media yang cukup besar. Mereka mempunyai siaran TV sendiri yang dinamakan 'Islam Warna-Warni', buku dan artikel yang banyak di samping sokongan ahli politik dan kiyai yang berpengaruh di Indonesia.

Ulil Absar adalah ketua mereka, yang mendapat pendidikan Barat secara total, termasuk beberapa ahli mereka yang seramai 5-6 orang. Justeru apa yang kita harapkan daripada mereka ini untuk memurnikan ajaran Islam? Apakah golongan ini yang mampu membawa peubahan dalam dunia umat Islam hari ini dengan melaung slogan Islam Liberal?

Manakala dalam sudut yang lain muncul suara untuk mencerahkan Islam dengan membawa tema Islam Tanwiri atau Islam 'Enlightement'. Mereka ini terpengaruh dengan revolusi akal yang membawa perubahan drastik dalam pemikiran orang Barat. Malah mereka cuba ingin menyamakan sejarah agama Islam dengan agama Kristian.

Islam tidak pernah berlaku seperti Kristian yang memungkinkan wujud golongan Protestan yang menentang pihak gereja kerana anti ilmu. Islam tidak mempunyai ulama murni seperti Imam Al-Ghazali, Ibn Rushd, Ad-Dihlawi yang anti ilmu. Malah ulama- ulama Islam tidak pernah menyembunyikan kebenaran seperti yang berlaku di kalangan paderi Kristian. Islam juga mempunyai faham Tauhid yang kukuh yang mustahil untuk diruntuhkan. Ini berbeza dengan Kristian yang mempunyai faham Trinity yang mengundang pelbagai masalah sehingga melahirkan banyak mazhab Tauhid, seperti Katolik, Protestan, Anglican dan sebagainya. Dalam Islam wujud pelbagai mazhab, akan tetapi dalam masalah Fiqh atau ibadat bukan masalah Ketuhanan. Tuhan bagi umat Islam seluruhnya sama ada Sunni, Syiah, Muktazilah dan lain- lain ialah masih Allah swt.

Justeru klaim bahawa pencerahan akal seperti yang berlaku di Barat perlu diimport ke dalam dunia Islam adalah kekeliruan yang nyata. Akibat dari kekeliruan inilah lahirnya pelbagai usaha untuk memversikan Islam mengikut nafsu masing- masing.

Sheikh Yusof Qardawi dalam memberi respon pelbagai versi Islam ini ialah, jika wujudnya Islam versi Taliban, Islam versi Progresif, Islam versi Malaysia, Islam versi Al-Farabi sebenarnya menunjukkan akan kelemahan Allah itu sendiri. Malah pelbagai nama ini menjadikan umat semakin keliru kerana rupa- rupanya Islam ada banyak pilihan. Jika Islam versi si-pulan yang sesuai dengan selera kita, itu yang kita ikut. Manakala jika tidak sesuai, awal- awal lagi kita sudah tolak.

Islam menurut beliau ialah satu- satunya agama Tuhan dari wahyu yang masih kekal sehingga hari kiamat. Islam yang sebenar ialah Islam yang mengikut Al-Quran dan Sunnah Nabi saw tanpa ada penambahan dan pengurangan. Islam merupakan satu subjek, sudah semestinya bersifat tamadun, cerah, murni dan lengkap. Jika berlaku sebarang perubahan yang tiada dibenarkan oleh Al-Quran dan Hadis Nabi saw, maka itu adalah bid'aah yang nyata sesat.

Justeru, usaha untuk memperbaiki kondisi umat Islam amat digalakkan. Akan tetapi menggunakan pelbagai nama yang semakin menggelirukan bukanlah jalan yang terbaik. Malah Islam sebagai satu agama yang syumul dan terpelihara bukanlah yang perlu dirombak, akan tetapi pemahaman umat Islam itu tentang Islam yang perlu dirombak. Bukankah jika berlaku kemalangan, yang perlu dipersalahkan dan dibayar denda ialah pemandunya, bukan keretanya. It's not the case of Islam, but the Muslim itself

No comments: