Saturday, May 07, 2005

'ISLAM HADHARI' ATAU 'MASYARAKAT MADANI'?






'ISLAM HADHARI' ATAU 'MASYARAKAT MADANI'?

Persoalan membina tamadun perlu mempunyai idea besar yang mendorong perjalanan tamadun itu berjalan. Inilah yang diperkatakan oleh pemikir Algeria, Malek Ben Nabi mengenai pentingnya 'Guiding Idea' atau 'Idea Pendorong'. Dalam konteks negara kita Malaysia, pembinaan tamadun Islam semakin rancak dibahaskan. Islam, menjadi teras tamadun yang bakal dibina menjadi topik utama di setiap penjuru, dari sidang parlimen sehingga kedai kopi. Ini juga menunjukkan Islam semakin mendapat perhatian utama di Malaysia walaupun ada unsur- unsur yang ingin mengagalkannya.

Slogan 'Islam Hadhari' muncul buat pertama kalinya pada awal tahun 2004, ketika negara yang diperintah oleh Barisan Nasional ingin menghadapi pilihanraya ke-11. Perdana Menteri yang baru, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, dengan imej bersihnya, dan warisan ulama memungkinkan lagi slogan 'Islam Hadhari' berkumandang.

Manakala slogan 'Masyarakat Madani' pula muncul lebih awal ketika itu, iaitu diucapkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim, selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu di Syarahan Festival Istiqlal, di Jakarta pada 26 September 1995. Ketika itulah kalimah Masyarakat Madani bermula dan susulan daripada itu berlangsung satu seminar peringkat kebangsaan di UKM bagi membincangkan idea menubuhkan masyarakat madani di Malaysia.

Persoalannya, apa beza antara Masyarakat Madani dan Islam Hadhari? Tulisan di sini terlepas daripada untuk mempolemikkan kedua- dua istilah tersebut. Malah terlepas dari ingin melagakan dua tokoh yang mempopularkan idea tersebut. Kekeliruan konsep dan tujuan perlu dijernihkan bagi memudahkan kita untuk bergerak menjayakan idea- idea tersebut.

Secara ringkas, jika ditelusuri mengikut konteks makna, masyarakat Madani menurut Prof. Naquib Al-Attas, ialah masyarakat yang didirikan atas konsep din iaitu agama. Kalimah 'Madani' diambil daripada kalimah 'din'; dan di situlah agama menjadi teras dalam menjalani kehidupan. Amanah, jujur, ikhlas, taat perintah Tuhan dan sebagainya yang berdiri atas agama menjadi pekerjaan utama. Malah masyarakat Madani juga adalah jelmaan 'masyarakat Madinah' ketika zaman Nabi Muhammad saw. Walaupun tidak secara 100%, akan tetapi roh serta konsepnya hampir sama.

Manakala 'Islam Hadhari' bermaksud; Islamic Civilization, atau Islam yang bertamadun. Maka apabila dikatakan bertamadun, segala yang bersifat mundur, miskin, taklid, adalah bukan paksi menjayakan Islam Hadhari. Persoalan Islam mengenai halal dan haram perlu diperluaskan kepada persoalan sains dan teknologi. Untuk membina negara Islam yang gemilang pada zaman moden ini, konsep ketamadunan perlu di'segar'kan kembali dan kisah- kisah kejayaan tamadun Islam yang lalu menjadi inspirasi.

Justeru, di manakah kedudukan kita? Apakah kita perlu mengambil idea yang satu dan mengenepikan idea yang lagi satu? Jika ini berlaku, maka satu kerugian telah berlaku. Jika hendak ambil pun, apakah idea atau konsep yang kita mesti praktikan dalam keadaan sekarang yang serba menuntut?

Oleh itu, terlepas dari kedua- dua maksud, demi mengelakkan polemik yang tidak berkesudahan, konsep membangunkan negara dalam dunia sekarang perlu mengambil kira elemen pragmatisme. Bersikap pragmatik bukan bersikap opportunis, demi mengambil untung perut sendiri, tanpa mempedulikan asas- asas agama yang benar dan kukuh. Akan tetapi, masih bersandarkan asas agama dan bersikap akomodatif dengan suasana sekeliling. Kedua- dua idea mempunyai maksud yang murni, maka mengapa tidak sahaja kita mendamaikan sahaja dua konsep itu? Kalau begitu, bagaimana?

Membina negara Islam yang maju jaya zaman ini bukanlah tugas yang mudah.Ianya merupakan cabaran besar bagi kita generasi muda. Dalam sibuk membina negara Islam yang berjaya, eleman pembinaan individu perlu ditekankan.Bukankah satu negara yang besar bermula dari seorang individu? Jika individu itu baik maka negara yang ada pun baik. Jika tidak sebaliknya. Malah Imam Al-Ghazali juga ada menukilkan, setiap manusia mempunyai kerajaan, iaitu di dalam hatinya. Hati menjadi raja, manakala organ- organ yang lain menjadi petugas- petugas bagi raja itu. Jika hati kita dapat mengawal organ- organ yang lain, maka itu tandanya kita mampu untuk mengawal sebuah negara.

Juga, persoalan nama atau konsep tidaklah terlalu penting jika komitmen untuk menjayakan idea tersebut tidak secara serius dilakukan. Maka komitmen menjayakan idea yang baik perlu diperkasakan dan diperhebatkan. Setiap program yang baik untuk rakyat perlu diperhebatkan, manakala program yang serba maksiat dan mendatangkan mudarat kepada rakyat perlu dihentikan. Mana mungkin air bercampur dengan minyak?

Justeru, persoalan Islam Hadhari atau Masyarakat Madani perlu ditanggapi dengan kemas dan tuntas. Tulisan ini sekadar lontaran awal bagi mencerdaskan minda kita sebagai generasi muda.

No comments: