Monday, April 04, 2005

Kematian Pemimpin Ahli Kitab di Alaf 21

Pendirian Pope John Paul II disegani
Oleh MARKUS LIM (WARTAWAN UTUSAN)
4 April 2005, Isnin

Kematian Ketua Gereja Roman Katolik, Pope John Paul II ataupun nama sebenarnya Karol Josef Wojtyla tepat pukul 3.37 pagi semalam (waktu Malaysia) ditangisi oleh jutaan penganut Kristian mazhab Katolik di seluruh dunia.

Dari Dataran St. Peter di Vatican hingga ke Paris dan kemudiannya Mexico sehinggalah ke Manila, para penganut berkumpul di gereja bagi menghulurkan doa kepada seorang pemimpin agama yang telah memperjuangkan banyak isu kemanusiaan dan kesaksamaan sepanjang tempoh hampir 27 tahun sebagai ketua agama.


Image Hosted by ImageShack.us
(www.vatican.va)



Sekali imbas, John Paul II merupakan pope pertama dari luar Itali diberikan mandat untuk menerajui gereja Roman Katolik dalam tempoh 455 tahun. Sebelum ini, kebanyakan pope yang dilantik adalah dari kalangan bangsa Itali sendiri.

Apa pun, di sebalik pelantikan beliau, dunia dapat menyaksikan bagaimana pendirian John Paul II dalam pelbagai isu seperti memulihkan hubungan Islam-Kristian, penentangan terhadap perang di Iraq serta pelopor kepada keamanan sejagat. Pendirian beliau itu disegani dan dihormati bukan sahaja oleh penganut Kristian bahkan juga umat Islam di seluruh dunia.

Mendiang yang dilahirkan pada 18 Mei 1920 di Wadowice, Poland, merupakan pengganti ke-264 kepada St. Peter dan yang termuda dalam tempoh 100 tahun. Pada 1938, John Paul II melanjutkan pelajaran di Universiti Jagellonian. Namun apabila tentera Nazi menawan Poland, beliau terpaksa bekerja sebagai buruh paksa bagi mengelakkan pengusiran. Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, John Paul II secara senyap-senyap belajar untuk menjadi seorang paderi.

Hasilnya, beliau dilantik sebagai paderi pada tahun 1946 dan bermula dari pelantikan itu, perjalanan John Paul II dalam menyebarkan dan memperjuangkan isu-isu kemanusiaan kian terserlah. Selanjutnya pada 1963, beliau dilantik sebagai 'Archbishop' di Krakow, Poland sebelum dinaikkan pangkat sebagai 'Kardinal' empat tahun kemudian.

Gaya John Paul II yang lebih suka berinteraksi dan berdialog dalam menyelesaikan sesuatu konflik serta komitmen beliau dalam memerangi masalah kebuluran meletakkan namanya diiktiraf sebagai 'Champion of the Weak'.

Sepanjang hayatnya, mendiang juga mencetuskan pelbagai kontroversi dengan melaksanakan pelbagai pembaharuan yang ada kalanya tidak disenangi oleh penganutnya sendiri.
Umpamanya, pendirian beliau untuk mengharamkan pelantikan golongan wanita sebagai paderi, mengharamkan pencegahan hamil, homoseksual, perceraian serta keruntuhan nilai-nilai murni tradisi dalam keluarga.

John Paul II juga akan dikenang sebagai pemimpin Katolik pertama dalam sejarah yang menjejakkan kaki ke dalam Masjid Umayyah di Damsyik, Syria empat tahun lepas. Beliau juga pernah menjemput pemimpin-pemimpin agama lain baik Islam, Buddha mahupun Hindu ke Assisi, Itali untuk berdoa bersama-sama demi keamanan sejagat. Dengan pemergian John Paul II itu, timbul pula soal siapakah yang akan dilantik untuk menggantikan John Paul II?

No comments: