Friday, March 18, 2005

Terjemahan Karya Besar dan Peranan Kita

TERJEMAHAN KARYA BESAR DAN PERANAN KITA
Mohd Hilmi Bin Ramli
(MINDA keluaran September 2004)







Sememangnya kita selaku rakyat Malaysia patut merasa insaf dan takut, kerana jika dibandingkan dengan negara jiran Indonesia, jika diukur dari sudut terjemahan karya-karya agung dalam bahasa ibunda mereka, kita terbelakang ketinggalan. Kita boleh melihat betapa suburnya industri penterjemahan buku di Indonesia, lihatlah di Pustaka Indonesia duta buku-buku dari Indonesia misalnya, sungguh asyik dan mengkagumkan karya-karya yang berjaya diterjemahkan dalam bahasa Indonesia yang bukan sekadar memberi rahmat membaca kepada rakyatnya, tetapi kita juga penduduk Malaysia.


Sebenarnya isu penterjemahan karya ke dalam bahasa ibunda ini berkait rapat dengan sikap kecintaan kita terhadap bahasa ibunda itu. Jika hari ini, kita boleh mempersoalkan, apakah benar-benar rakyat Malaysia sememangnya cintakan Bahasa Melayu? Berdasarkan pandangan mata kasar kita, amat susah untuk mengiakannya. Ini berdasarkan beberapa situasi dan sikap kita sendiri yang tidak patrioritk dan cinta kepada bahasa. Kita boleh jenguk dalam sektor pendidikan apabila Bahasa Inggeris mula di ‘dewa’kan dalam mendidik anak bangsa, dalam indistri pengiklanan, apabila Bahasa Melayu tidak digunakan secara meluas kononnya tidak membawa nilai komersial seperti Bahasa Inggeris, malah dalam mahkamah sendiri masih liat untuk menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap perbicaraannya. Ini bukan soal mencabar suatu badan atau mempertikaikan kewibawaannya, tetapi ini soal sama ada kita menjadi seorang rakyat yang patuh kepada perlembagaan atau tidak. Bukankan dalam salah satu perlembagaan Malaysia berbunyi, Keluhuran Perlembagaan. Justeru, selaku rakyat Malaysia, dengan menggunakan Bahasa Melayu selaku bahasa rasmi merupakan satu ekperasi menunjukkan ketaatan kepada negara disamping menghormati undang-undang itu sendiri.

Maka dalam kemelutan penggunaan Bahasa Melayu yang masih menjadi masalah hari ini di kalangan sebilangan orang yang masih degil dan chauvinistik dengan Bahasa Inggeris, di kala itulah juga mempamerkan kelesuan dan kelembapan industri penterjemahan buku dalam Bahasa Melayu.


Pada bulan Jun yang lalu satu diskusi buku yang bertajuk Pengembaraan Ibn Batuta yang dianjurkan oleh Kelab Intelektual Muda, Universiti Islam Antarabangsa telah membuka satu lembaran baru dalam dunia intelektual di kalangan mahasiswa umumnya. Tetapi yang paling penting sekali ialah, betapa hendak menunjukkan bahawa sebuah karya agung pengembara Islam yang diakui oleh dunia Barat dan Islam iaitu Rehlah Ibn Batuta yang telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa misalnya Jerman, Perancis dan Inggeris, telah berjaya diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Sebuah karya yang asalnya dalam Bahasa Arab berjaya diterjemah dalam bahasa tempatan oleh seorang graduan universiti tempatan!


Lihatlah betapa satu kejayaan besar dan kebanggaan yang patut dirasai oleh seluruh umat Melayu Islam apabila Sdr. Syed Nurul Akla bin Syed Abdullah, dahulunya mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa yang mengambil jurusan Bahasa dan Kesusasteraan Arab berjaya menghabiskan selama 10 tahun untuk menyiapkan projek penterjemahan karya Ibn Batuta ini. Malah ketika dalam program diskusi buku itu, beliau bersama sdri Wan Roslili, selaku penyunting yang turut bertungkus lumus menjayakan penterjemahan karya itu mengatakan, Kelab Intelektual Muda sebenarnya telah memulakan satu langkah baru yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana orgasnisai mahasiswa atau mana-mana persatuan dalam universiti di Malaysia. Jemputan ini merupakan satu penghargaan bukan kepada beliau semata-mata, tetapi satu penghargaan kepada satu kejayaan dunia umat Islam Melayu apabila sebuah karya agung berjaya diberi wajah yang boleh difahami oleh umat Melayu khususnya dan seluruh rakyat Malaysia yang menggunakan Bahasa Melayu.


Karya Pengembaraan Ibn Batuta terbitan IKIM ini menurut Syed Nurul Akla, telah dimulai sejak beliau berada di tahun 3 ketika belajar di UIAM, apabila IKIM memberi tugas penterjemahan ini kepada beliau setelah melihatkan keputusan akademik beliau yang cemerlang. Nah, ini adalah satu titik permulaan kebangkitan industri terjemahan buku ke dalam Bahasa Melayu yang dimulakan oleh seorang anak muda lulusan tempatan! Malah ini juga cabaran dan tamparan hebat kepada seluruh mahasiswa negara ini sama ada luar negara, atau dalam, yang Muslim atau bukan Muslim, Melayu atau Cina atau India atau seluruh penduduk Malaysia umumnya.


Kisah kejayaan ini perlu diketahui oleh golongan anak muda supaya mampu menjadi inspirasi kepada mereka untuk bekerja lebih kuat dan keras. Dalam satu perkara yang lain, menurut Profesor Abdullah Hassan dalam satu makalah kecilnya terbitan Dewan Bahasa dam Pustaka, ‘Membina Industri Buku Terjemahan’ mengatakan bahawa tiga contoh negara yang menjadikan industri buku sebagai sumber utama negara iaitu Taiwan, Jepun dan Korea. Sebagai contoh, Taiwan pada masa ini pasaran buku Taiwan bernilai RM 3.8 billion setahun, dan menerbitkan 38,000 tajuk buku baharu pada tahun 2000. Yang paling memeranjatkan ialah 8000 daripada tajuk itu datangnya daripada buku asing yang berjaya diterjemahkan dalam bahasa Cina. Ini sekaligus menunjukkan budaya membaca dan ilmu yang kuat di kalangan orang Cina Taiwan.

Usaha menterjemahkan buku asing ke dalam bahasa Cina tidak menjadi masalah bagi penerbit-penerbit buku, ini kerana ‘syahwat’ penduduk Taiwan terhadap ilmu membuatkan pelbagai idea-idea progresif dari Barat dengan unsur-unsur falsafah dan pemikiran senang dibawa masuk. Keduanya, sikap terbuka masyarakat Cina sana terhadap buku membantu menggalakkan perkembangan industri buku. Berbeza dengan masyarakat Malaysia yang hanya terbuka terhadap buku-buku atau bahan bacaan picisan yang bersifat sensasi atau tahyul, tidak kepada bahan bacaan ilmiah yang merangsang pemikiran. Ketiganya, sikap persaingan yang wujud di kalangan penerbit buku yang didorongi oleh perasaan ingin maju dan berjaya yang membuak-membuak menjadikan mereka terpaksa bersaing antara satu sama lain dalam memberi perkhidmatan bahan bacaan yang terbaik kepada masyarakat.

Justeru, roh cintakan ilmu, suka bersaing untuk menjadi yang terbaik di kalangan yang baik disamping menjadikan industri terjemahan sebagai sumber ekonomi untuk negara demi menjadikan rakyat pandai sebenarnya mencabar kita yang beragama Islam terutamanya yang saban kali menjerit umat yang berilmu, umat terbaik, umat pilihan, syurga dalam tangan dan sebagainya kelebihan dan kekuatan yang ditonjolkan. Semuanya hanya retorik semata-semata, kerana banyak yang bercakap daripada bertindak.


Maka dalam konteks terjemahan buku dan peranan mahasiswa hari ini, titik permulaan telah dimulakan oleh Syed Nurul Akla. Maka mahasiswa yang lain yang cintakan ilmu dan negara mestilah menyambung perjuangan menterjemahkan mana-mana karya besar, karya agung tokoh-tokoh terkenal supaya dapat dihidangkan kepada generasi-generasi masa depan. Lihatlah karya pemikiran Barat dan tamadun lain dari China dan India seperti, Das Capital oleh Karl Marx, Leviathan oleh Thomas Hobbes, Art of War oleh Tsun Zu, malah karya sastera oleh Shakspeare, dan sebagainya yang perlu diterjemahkan untuk mendalami idea-idea mereka disamping mengkayakan ufuk pemikiran kita. Malah jangan lupa juga karya-karya ulama-ulama besar yang amat kurang terjemahannya. Memang kita ada, tetapi kebanyakkannya secara umum hanya tulisan Sheikh Yusof Qardawi yang ada, dan sedikit tokoh-tokoh Islam lain seperti Hassan Al-Bana, Syed Qutb dan sebagainya. Yang kita mahukan ialah mungkin karya Al-Muwafaqat oleh Imam As-Syatibi, ulama Fiqh zaman Andalusia, karya Qanun fi Tib, oleh Ibn Sina, Tahafut Al-Falasifah oleh Imam Al-Ghazali, juga tokoh Islam moden seperti Muhammad Iqbal dengan karyanya Reconstruction of Islamic Thought, Jamaluddin Al-Afghani dengan Refutation on Materialism dan banyak lagi.

Kendatipun demikian, usaha terjemahan ini akan lembap dan lesu jika budaya cintakan ilmu itu sendiri dalam masyarakat yang lembap. Budaya membaca yang baik cerminan masyarakat yang cintakan ilmu, jika tidak sebaliknya. Sebelum ini memang sudah ada beberapa karya besar yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, tetapi tidak tahulah apa puncanya, sama ada kaedah pemasaran yang tidak bagus, ditambah dengan lemahnya budaya ilmu atau bermacam-macam masalah lagi. Sebagai contoh karya Jose Rizal, anak muda Filipina yang memperjuangkan demokrasi yang dihukum bunuh, dengan karyanya Noli Me Tanggere (Jangan Sentuh Aku) terbitan Institut Kajian Dasar yang tidak mendapat tempat di kalangan masyarakat. Ini terbukti apabila tidak kedengaran diskusi buku mengenainya sejak diterbitkan pada tahun 1996. Jika adapun hanya seminar mengenainya yang dihadiri oleh sebilangan kelompok elit sahaja. Malah banyak karya besar lagi yang sudah diterjemahkan dalam bahasa ibunda seperti Penguasa (Prince) oleh Machivelli terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Al- Muqadimah oleh Ibn Khaldun juga oleh DBP.


Maka, mahasiswa tempatan, khususnya yang mengambil jurusan dalam bahasa asing seperti di Jabatan Bahasa Universiti Putra Malaysia, mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa juga, dan mahasiswa luar negara di Jepun, Perancis, Mesir, Jordan, China, Jerman, UK dan Amerika dan sebagainya hendaklah mengambil inisiatif awal untuk menterjemahkan karya-karya yang mereka ketahui untuk diterjemahkan dalam bahasa ibunda. Tolak ke tepi warna kulit, agama dan bangsa, yang menjadi matlamat perkongsian kita ialah menjadikan karya-karya tersebut dalam Bahasa Melayu, tidak kiralah ianya bersifat pemikiran, ekonomi, sains politik, agama, sastera, sains dan sebagainya.


Mungkin akan ada masalah-masalah sampingan yang timbul dalam merealisasikan niat murni ini seperti kelemahan penguasaan bahasa asing atau kebangsaan, kekurangan dana, sistem percukaian terjemahan buku yang masih tinggi dan ganjaran yang tidak setimpal dengan usaha yang dilakukan. Akan tetapi ingatlah, sekali kita berjiwa besar, semua masalah yang melintang di depan mata akan dianggap nyamuk-nyamuk nakal yang suka mengganggu kita. Maka bukanlah sangat kita ingin membanyakkan karya terjemahan dalam Bahasa Melayu jika masyarakat sendiri tidak suka membacanya atau ambil peduli tentangnya, tetapi kita mahukan anak muda yang berjiwa besar yang sangup merentangi segala permasalahan yang didorongi oleh roh cintakan ilmu, yang bangga dengan Bahasa Melayu demi melihat masa depan tamadun yang berjaya dan gemilang.


Alangkah indahnya apabila melihatkan Ahmad, Muthu dan Ah Seng membaca karya The Clash of Civilization and The Remaking of World Order atau dalam Bahasa Melayunya ‘Perbenturan Tamadun dan Penciptaan Dunia Baru’!

2 comments:

Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah said...

Assalamualaikum

Sudilah kiranya saudara melihat blog saya di http://pustakahilmi.blogspot.com

Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah said...

Assalamualaikum

Sudilah kiranya saudara melihat blog saya di http://pustakahilmi.blogspot.com