Monday, March 28, 2005

Persoalan moral dalam seni



Seringkali apabila satu karya seni, sama ada filem, lagu, lukisan hatta bentuk badan pun dikatakan mempunyai nilai yang tinggi dan maksud yang tersendiri. Malah ada juga yang mengatakan," Setiap benda ada seninya", lagu hard rock Metallica ada seninya bagi sesiapa yang minat, filem Beautiful Mind ada seninya kerana mempunyai nilai berfikir bagi sesiapa yang hendak berfikir, badan yang tak berbaju pun ada seninya kerana menghayati keindahan dan kurniaan Tuhan kepada kita!

Maka di sini timbul persoalan, apakah ukuran kita dalam menentukan sesuatu itu mempunyai nilai seni? Jika memang benar ada nilai seninya, apakah nilai itu mempunyai nilai hak atau kebenarannya? Persoalan ini mesti dijawab dengan tuntas di kalangan kita. Persoalan melihat sesuatu perkara secara nisbi- nisbi atau relativisme merupakan aliran pemikiran yang berkembang sekarang. Kita katakan berkembang kerana apa sahaja isu- isu ataupn perkara di dunia ini ditafsirkan mengikut pandangan amsing- masing, yang tidak berpandukan satu sandaran yang kukuh dan kekal. Ini terbukti dalam media misalnya, apabila isu menangkap orang membuat maksiat dalam disko dieksplotasi dengan tuduhan bahawa tindakan itu adalah salah di sisi undang-undang. Malah kenyataan karut bahawa orang yang berada dalam disko itu mempunyai hak peribadi dan paling ekstrem ialah setiap orang mempunyai dosa peribadi.
Maka kita tidak perlu mengacau mereka untuk mereka melakukan maksiat. Faham ini sudah wujud dalam masyarakat kita, "Kubur masing- masing, sape peduli!!"

Persoalannya, apakah ukuran yang digunakan oleh mereka dengan mengatakan dosa adalah milik peribadi yang tidak perlu diganggu? Ini adalah contoh kes dalam masalah memahami perkara mengikut nisbi- nisbi.




Ada nilai seni tak?


Persoalan akhlak dan moral merupakan perkara asas yang terkandung dalam syariat Islam yang tiga iaitu, Tauhid, Ibadat dan Akhlak. Malah misi menyempurnakan akhlak adalah misi Nabi Muhammad SAW dalam satu dalil, "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak". Maka kekeliruan yang berlaku hari ini dalam melihat sesuatu perkara secara relativisme berlaku juga dalam menilai akhlak. Inilah yang terjadi seperti mentafsir setiap manusia mempunyai dosa peribadi. Golongan yang melihat secara relativisme ini tidak mempunyai sandaran yang kukuh dan kuat, yang mereka ini memyandarkan faham mereka kepada kekuatan akal dan suasana semasa. Islam melalui Al-Quran dan Hadis Nabi merupakan sumber yang kukuh dan tiada perubahan sehingga kiamat. Maka sandaran kepada dua asas inilah yang menjadi kayu ukur dalam menilai sesuatu perbuatan.

Oleh itu, dalam melihat persoalan seni tak seni, moral tak moral, sandaran yang menjadi asas kita ialah Al-Quran dan Hadis Nabi sendiri. Sebagai contoh, ada orang mengatakan jika buat filem, takde adegan ranjang dalam filem tak lengkap jalan cerita. Atau kadang orang bagi tahu, "Kau tak faham lirik ni, dia mempunyai nilai estetik yang terlalu tinggi". Maka ukuran kita dalam menentukan ini adalah seni yang membawa kepada kebenaran atau kepada kesesatan ialah merujuk kembali kepada asas- asas agama. Syed Qutub mengatakan, "Kebenaran merupakan puncak kepada kecantikan" Sesuatu perkara dilihat cantik, seni atau bermakna jika ada nilai kebenarannya". Filem yang mempunyai seni ialah filem yang mengangkat maratbat kebenaran, yang meghalalkan yang halal dan mengaharmkan yang haram . Maka apakah adegan ranjang dalam filem mempunyai nilai seni jika bercanggah dengan nilai kebenaran? Begitu juga apakah persoalan dosa peribadi itu pendapat yang benar jika tiada dalil agama yang mengatakannya?

Akhirnya, persoalan seni tak seni, cantik tak cantik, moral tak moral bergantung kepada nilai kebenarannya yang diambil dari sumber agama iaitu Al-Quran dan Hadis yang sentiasa kukuh dan kekal, tidak berlaku perubahan hatta kiamat. Jika sandarannya dengan akal, bila- bila masa sahaja boleh berubaha kerana tidak kekal dan dibantu oleh hawa nafsu manusia yang sentiasa tak puas. Sebab itu, perkahwinan lelaki sesama lelaki haram di Amerika ketika 50-an akan tetapi halal kini, sebab, aliran relativisme yang mengakar di sana.

No comments: