Thursday, March 17, 2005

Pengganas Di 'Taman Ilmu dan Budi'? [Bahagian 2]

Pengganas Di 'Taman Ilmu dan Budi'? [Bahagian 2]
Mohd Hilmi Ramli
www.suaraanum.com (Suara Anak Muda)
Edisi Mei 2001


Berbalik kepada kes Ahmad, sejak daripada itu UIA menjadi tajuk perbualan masyarakat. Sesiapa yang belajar di UIA apabila pulang ke kampung pasti ada cerita menarik yang hendak diceritakan. Perbualan masyarakat tidak lagi berkisar tentang pilihanraya kecil di Gaya, Sabah, ataupun Sukan Asia yang kini berlansung di Busan, Korea. Masyarakat lebih perihatin dengan isu-isu keganasan yang bersifat global seperti kes Ahmad Bilal.

Kepekaan masyarakat UIA terhadap isu ini lebih menggamit suasana yang berlaku. Sikap berhati-hati dengan tindakan ekstrimis dalam agama ataupun bantahan demi bantahan dilaporkan tidak berlaku. Suasana lebih bersifat terancang tanpa ada demonstrasi daripada pelajar ataupun gerakan membenci Amerika dianjurkan setakat ini. Niat jahat Amerika itu membuatkan ketidakpastian siapa yang akan ditangkap selepas ini. Mungkin sesiapa yang ada kaitan dengan gerakan agama,atau menyimpan janggut panjang....






Dalam masa yang sama,tersiar di dada-dada akhbar mengenai Wan Aishah Wan Nawawi, waris Mahsuri yang ingin melanjutkan pelajaran di UIA pada masa mendatang. Beliau berminat dalam bidang perakaunan dan bercita-cita tinggi untuk mendalami ilmu agama di UIA. Minat beliau itu dialu-alukan dengan seikhlasnya oleh warga UIA bagi meramaikan lagi Muslim professional yang beriman dan beretika mulia. Bagaimanapun, beliau tidak terlepas dari beberapa syarat yang telah ditetapkan bagi memastikan kualiti pelajar dapat disaring dan dikenal pasti.

Ketiga-tiga individu ini, Nik Nor Ermiza, Ahmad Ibrahim Bilal dan Wan Aishah telah mewarnai nama UIA di bibir masyarakat dan menaikkan nama UIA di persada dunia dan tempatan akhir-akhir ini. Bukan popular menjadi matlamat, tetapi gagasan yang dibawa oleh UIA sebagai institut pengajian tinggi iaitu The Garden Of Knowledge and Virtue atau Taman Ilmu dan Budi akan diterima dan difahami oleh masyarakat seluruhnya nanti.

Sebelum ini mungkin orang lebih mengenali UIA sebagai tempat yang menyediakan jurusan agama sahaja, tidak ada jurusan kejuruteraan misalnya, ataupun yng lebih sempit ada mengatakan pelajar-pelajar lelaki UIA semuanya pakai kopiah dan serban belaka, manakala pelajar-pelajar perempuan semuanya memakai jubah dan tudung labuh. Gambaran yang dilemparkan oleh masyarakat terhadap institusi Islam seperti ini menampakkan pemikiran sesetengah masyarakat masih di takuk lama. Bagi mereka,Islam hanya terpampang pada pakaian sahaja dan Islam tidak boleh menyediakan subjek seperti perubatan, farmasi, matematik, teknologi maklumat ataupun pengurusan. Tanggapan mereka, belajar ilmu Fiqh, Tafsir, Hadis atau Tajwid sahaja yang Islam sifatnya.


Gagasan The Garden Of Knowledge and Virtue yang dicetuskan menyemarakkan lagi universiti sebagai sebuah institusi ilmu dan pusat ketamadunan intelektual. Universiti bukan sekadar tempat menadah ilmu dalam erti kata belajar sahaja dengan matlamat dapat ijazah pada akhirnya, tetapi lebih luas dari itu. UIA mempunyai visi murni yang bersifat jangka masa panjang iaitu “menjadi pusat kecemerlangan pendidikan ulung antarabangsa yang berhasrat memulihkan fungsi progresif dan dinamik Umat Islam di dalam semua cabang ilmu pengetahuan."


Misi suci UIA pula dikumpulkan dalam bentuk akronim iaitu ‘ IIICE‘ atau dikenali dengan. Tiga huruf ‘I’ membawa maksud Integration, Islamization dan Internationalization, manakala ‘ CE ‘ bermaksud comprehensive excellence. Misi ini sedang giat dijalankan oleh warga UIA seluruhnya dalam segala aspek kehidupan.


Menoleh sejarah sebelum ditubuhkan,idea dan konsep universiti Islam telah dibincangkan oleh sarjana-sarjana Islam pada tahun 1977 di Konferens Pendidikan Muslim Sedunia, di Mekah. Antara ilmuan Malaysia yang terlibat sama dalam perbincangan itu ialah Prof Syed Naquib Al Attas, Prof Kamal Hassan (kini Rektor UIA) dan Abdul Jalil Hassan (Allahyarham Tan Sri Prof).






Akhirnya,pada 1983 lahirlah sebuah universiti Islam yang diberi nama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. UIA telah banyak kali bertukar-tukar tempat di kala meniti kematangan. Kini UIA mempunyai kampus tetapnya yang cantik terletak di Gombak dan mempunyai dua cawangan berasingan. Pertamanya,Pusat Matrikulasi UIA yang terletak di Seksyen 17 Petaling Jaya,dikelilingi oleh kawasan perumahan dan perindustrian. Di sini ditempatkan bagi pelajar-pelajar lepasan SPM khususnya sebelum melangkah kaki sepenuhnya ke kampus utama. Subjek yang diajar lebih bersifat persediaan dan asas bahasa Arab dan Inggeris.


Cawangan kedua pula terletak di Kuantan, ibu negeri Pahang. Kampus ini pula menempatkan pelajar-pelajar dalam bidang sains seperti Farmasi dan Perubatan. Di sini juga diajar bukan sahaja matapelajaran sains, tetapi kemahiran berbahasa Arab dan Inggeris,subjek Islam seperti Islamic Worldview (Tasawwur Islam) dan ditambahi pula dengan perbincangan agama dalam bentuk Halaqah. Gabungan pendidikan professional dan agama yang bersepadu yang ingin ditekankan oleh UIA meniti dari hari ke hari dan sebagai pemangkin melahirkan generasi Muslim professional.


Di kampus utama,terdiri daripada jurusan Ilmu Wahyu dan Warisan Islam, jabatan paling besar merangkumi jurusan Sains Kemanusiaan. Di bahagian undang-undang pula dikenali sebagai Ahmad Ibrahim Kuliyyah Of Law,mengambil nama sempena tokoh undang-undang yang berjasa, Prof.Ahmad Ibrahim (sebagai peguam dalam menyelesaikan kes Natrah di Singapura). Manakala jabatan Ekonomi pula kini menawarkan program Ijazah Berkembar dengan jurusan Ilmu Wahyu dan Warisan Islam bagi merealisasikan pekerja ekonomi yang beretika mulia dan amanah pada masa akan datang.




(www.iiu.edu.my)


Jabatan Seni Reka dan Pembangunan Persekitaran adalah yang paling cantik sekali kerana dibina berdasarkan seni bina Melayu. Bumbungnya semacam binaan Minangkabau yang mampu menambat hati barangsiapa yang melihatnya. Begitu juga jurusan-jurusan lain seperti Kejuruteraan, Kesusasteraan Bahasa Inggeris, Kesusasteraan Bahasa Arab, dan terkini Teknologi Maklumat yang ditawarkan.


UIA juga adalah satu-satunya IPT di Malaysia yang menawarkan program berkembar bersama Tahfiz Darul Quran, JAKIM yang mana pelajar yang sudah tamat tempoh di Darul Quran selama dua tahun, otomatik dimasukkan dalam UIA.Usaha yang murni ini dapat menggalakkan pelajar supaya mempraktikkan ayat-ayat yang dihafaz ke dalam bidang professional yang diceburi. Harapan untuk melihat Muslim professional yang dinamik bakal dilahirkan tidak lama lagi.


UIA juga julung-julung kalinya IPT di Malaysia mengadakan program halaqah berwajib kepada pelajar-pelajarnya. Halaqah ini diadakan seminggu bagi membincangkan hal-hal agama, atau isu-isu semasa berlaku dan ditambahi pula dengan sedikit hafazan surah-surah lazim Al Quran.
Perpustakaan di UIA pula adalah antara yang terbaik yang menyediakan berbagai-bagai jenis buku mengikut topik. Di depan perpustakaan terpampang replika wahyu pertama yang diturunkan, iaitu Iqra’ yang ingin membawa mesej kepada warga UIA supaya meneroka perpustakaan dengan tujuan mengali segala khazanah ilmu yang tersedia. Tuntutan menuntut ilmu di UIA amat menyegarkan kerana adanya persaingan sihat antara pelajar tempatan dan luar negara.


Kini rata-rata orang mengatakan tentang UIA. Apakah tanggapan mereka bersifat positif,atau sebaliknya? Perlu difahami di sini,sesungguhnya kewujudan UIA tidak dapat dinafikan sebagai satu eksperimen untuk melihat komuniti Islam mewujudkan kembali kesatuan Ummah dan menampilkan kekuatan masyarakat Islam. Ia juga bakal melahirkan para graduan yang seimbang ilmu agama dan bidang professional yang boleh membimbing masyarakat di kala ini hidup dalam kejahilan. Dan yang lebih penting sekali proses pengislaman ilmu amat ditekankan di sini sedikit demi sedikit dengan menyerapkan unsur-unsur Al Quran dalam subjek dan mengaitkan bahawa Allah sahajalah Yang Maha Kaya Ilmunya dan Maha Pemilik Ilmu yang Agung itu.


Bukan itu sahaja, kemahiran berbahasa Inggeris, bahasa global kini dan bahasa Al Quran dapat diasah dengan mudah kerana adanya persekitaran yang diperlukan disamping ditekankan pembinaan akhlak mulia.


UIA bukan sahaja menempatkan pelajar-pelajar Muslim sahaja, tetapi bukan Muslim pun berada di sini disamping diaturkan beberapa program yang khusus bagi mereka. UIA tidak menjanjikan kemewahan material, ataupun ijazah bertaraf kelas pertama, atau pangkat atau nama bagi pelajar-pelajarnya, tetapi tujuan agungnya adalah melahirkan produk berkualiti yang bakal memimpin Ummah pada masa hadapan. Nama-nama seperti Nik Nor Ermiza,Wan Aishah dan terutamanya Ahmad Bilal telah mencatat UIA dalam satu sejarah yang bakal membuka mata masyarakat dunia tentang gagasan murni yang dibawa oleh UIA dan seterusnya bakal menjadi pilihan masyarakat pada masa akan datang. Cita-cita untuk mencapai seramai 20,000 pelajar pada 2005 bakal terlaksana jika tanggapan tentang UIA sentiasa positif di kalangan masyarakat luar. Prestasi UIA berdasarkan Malaysia Business Week pada 1995 meletakkan UIA di tangga pertama dalam seluruh IPT di Malaysia, kini adakah UIA berjaya mengekalkan kecemerlangan tersebut?


UIA masih muda dalam meniti usia, baru-baru ini pada 26 September - 3 Oktober UIA baru sahaja menyambut kelahirannya yang ke-18. Pada hari itu juga diadakan Majlis Konvokesyen yang mana telah berjaya melahirkan seorang bakal mujahid professional, iaitu Saudara Fendy Wong, daripada jurusan kejuruteraan telah dipilih sebagai pelajar terbaik dan tidak lama selepas dianugerahi ijazah, beliau dipanggil oleh Sauber Petronas untuk bekerja,dan malamnya itu beliau bertolak ke Swizertland bagi membantu Sauber Petronas dalam ‘Formula 1’.


Akhirnya, falsafah UIA bukan sekadar menara gading ataupun kilang-kilang melahirkan pekerja, tetapi lebih dari itu, The Garden of Knowledge and Virtue yang mempunyai impian tinggi melihat peradaban ilmu dan akhlak dan tradisi intelektual dapat dibangunkan dari rantau Melayu ini dan seterusnya melahirkan manusia seimbang ilmu duniawi dan uhkrawi, ataupun ilmu tradisional dan moden yang bakal memimpin Ummah.

No comments: