Wednesday, December 15, 2004

Pengalaman Berjasa Untuk Umat di Laos

Pengalaman Penulis di Laos


Pada 26 Mei sehingga 21 Jun 2004 lalu, penulis bersama seorang teman, Mohd Khairuddin Mohd Nor terpilih mewakili Global Peace Mission Malaysia (GPM) untuk melakukan kerja-kerja sukarela merentasi sempadan di Laos.

Projek Pendidikan dan Kajian Tempatan di Laos atau PERENTAS ini, menumpukan kepada pendidikan dan kajian mengenai kehidupan masyarakat Islam di sana.

Projek serampang dua mata ini menuntut kesabaran dan kesungguhan yang tinggi, ini kerana banyak cabaran, mihnah dan tribulasi yang ditempuh sepanjang menjalankan kerja kemanusiaan.

Bagi penulis, misi ke Laos ini adalah misi kedua yang sungguh memberi makna, dan sememangnya sebagai seorang pelajar, anak muda, banyak pengorbanan yang mesti dilakukan. Masa yang dimiliki oleh anak muda adalah masa emas untuk bergiat aktif memaksimum tenaga dan buah fikiran bagi membangunkan umat dan negara melalui kerja-kerja kemanusiaan dan sebagainya, yang mendatangkan faedah.

Mengambil kira beberapa contoh sirah nabi s.a.w., para sahabat mahupun tokoh-tokoh yang membangunkan tamadun, sama ada yang Muslim atau bukan, memberi inspirasi dan semangat untuk berjasa kepada umat dan negara pada saat usia muda.

Misi kali kedua ini memperlihatkan kesinambungan misi pertama dahulu pada bulan Ramadan 2003. Penulis bersama Mohd Khairuddin kali ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah bertolak ke Laos untuk membantu umat Islam, terutamanya dalam projek mengajar dan membuat kajian tempatan di sana.

Perjalanan menaiki keretapi selama tiga hari menuntut kesabaran dan kecekalan hati memandangkan perjalanan yang agak jauh dan lama.

Sepanjang perjalanan itu, bermacam-macam perangai manusia yang ditemui termasuk ditipu di Bangkok, dimarah oleh peniaga keretapi dan dipaksa membeli baju di Bangkok.

Kendatipun demikian, kami faham bahawa perkara itu adalah asam garam kehidupan manusia dan lumrah yang perlu ditempuh.



(Penulis menaiki keretapi dari KL Sentral-Bangkok-Nong Kai selama 3 hari!!)


Apabila tiba di Laos, kami berurusan dengan Dr. Muhammad Chraeun, wakil Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)-Laos di sana. Melalui beliau banyak urusan yang dapat diselesaikan.

Laos adalah sebuah negara yang baru membuka dasar negaranya kepada dunia, dan majoriti rakyatnya masih dalam keadaan yang miskin. Pekerjaan utama mereka ialah sebagai petani. Malah keadaannya tidak ubah seperti Malaysia ketika di ambang jajahan Jepun dan Britain tahun 40 dan 50-an lalu.

Dan paling penting ialah, sebagai sebuah negara yang pernah dilanda beberapa peperangan dalam masa yang lama, mentaliti rakyatnya masih dibelenggu sifat ingin berdampingan dengan orang luar, dengan harapan menerima wang dan sebagai penyiasat atau pengintip.

Tujuan pengintipan ini bukannya untuk mencari kesalahan orang lain tetapi hanya memerhatikan gerak-geri orang asing yang kemudiannya melaporkan kepada atasannya bagi tujuan pemantauan.

Pengalaman kami sebagai anak muda di Laos selama lebih kurang sebulan sememangnya mengajar kami erti kemakmuran, keamanan, perpaduan dan nikmat yang banyak, yang dimiliki oleh kita rakyat Malaysia.

Sebagai contoh, ketika di dalam kelas, kami membeli sebatang roti Perancis untuk sarapan. Memandangkan waktu mengajar sudah tiba, kami mengajar lebih dahulu, kemudian bercadang untuk bersarapan.

Selepas mengajar, kami dapati banyak semut mengerumuni roti tersebut, termasuk bersarang di situ. Ini menyebabkan kami mengambil keputusan untuk tidak bersarapan dan membuang sahaja roti itu. Tetapi yang menyayat hati ialah ramai anak murid kami yang berusia antara 4 hingga 17 tahun, melarang kami membuangnya dan meminta roti tersebut untuk dimakan.

Keadaan ini menguji kami. Akhirnya kami terpaksa memberikannya kepada para pelajar yang berebut untuk mendapatkannya.

Misi mengajar di sana juga memberi pengalaman yang menarik sekali apabila kami membeli dua buah basikal yang berharga RM125.00 setiap satunya untuk berulang alik dari sebuah masjid yang menjadi tempat penginapan kami ke sebuah lagi masjid, tempat kami mengajar.

Perjalanan sejauh lebih kurang lima kilometer itu memberi kepuasan kepada kami walau dalam keadaan penat, kerana berjaya membantu dan menyumbangkan ilmu dan pengalaman kepada saudara seIslam yang `ghairah' menuntut ilmu.

Kesungguhan mereka untuk menimba ilmu agama menguatkan semangat kami untuk mengajar, di samping menimbulkan persoalan kepada kami mengenai situasi di Malaysia yang rata-ratanya anak muda seakan-akan sudah layu dan kurang ghairah menuntut ilmu, tidak kira ilmu agama atau ilmu lain.

Di sana juga kami berpeluang menziarahi perumahan umat Islam. Keadaan yang serba miskin membuatkan kami sekali lagi bersyukur dengan kemakmuran negara kita ini.

Rumah umat Islam di sana hanya berdindingkan daun nipah dan dibaluti kotak serta atapnya juga beralaskan daun nipah yang dibaluti kotak.

Selain itu tidak dapat dilupakan juga ialah dua adik beradik yang menjadi pelajar kami. Mereka baru sahaja datang dari Kemboja dengan hanya sehelai sepinggang tanpa iringan ibu bapa.

Mereka hidup dalam kemiskinan dan hanya makan sekali sahaja iaitu pada waktu malam, iaitu nasi berlaukkan Hoi (sejenis siput babi sawah) yang diambil dari sawah padi. Keperitan hidup dan kemiskinan yang dialami oleh masyarakat Islam di sana membuatkan kami sekali lagi melafazkan kesyukuran kepada Allah.

Malah berbekalkan pengalaman dan ilmu pertukangan di sekolah dahulu, kami dapat juga membuat kerja-kerja teknikal seperti membaiki meja dan kerusi di sekolah yang sudah sepuluh tahun tidak dibaiki.

Namun demikian, rupanya ada juga yang tidak senang dengan kehadiran kami di Laos. Oleh kerana itu kami tidak dibenarkan menetap di sebuah masjid di sana. Ini kerana kehadiran kami sebagai sukarelawan disalah ertikan, kononnya membawa duit yang banyak untuk diberikan kepada mereka.

Oleh sebab itu sekiranya kami tidak memberikan wang yang diharapkan, kami tidak dibenarkan berurusan dengan mereka. Kerana itu kami dihalau dan tidak dibenarkan menetap di situ.

Kami melaluinya dengan hati terbuka. Sememangnya kita perlu memahami bahawa inilah mentaliti sebilangan mereka yang pernah mengalami trauma peperangan.

Kesimpulannya, misi merentasi sempadan di Laos ini mengajar dan mendidik kami erti kehidupan.

Malah ini adalah projek baru pada era baru yang diusahakan oleh Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang bernaung di bawah Global Peace Mission Malaysia (GPM) untuk melatih anak muda yang suka kepada cabaran, berjiwa besar dan berjasa kepada masyarakat, negara, seiring dengan misi asas GPTD, iaitu menyebarkan rahmat ke seluruh alam.

Seharusnya juga anak-anak muda di Malaysia memanfaatkan usia muda untuk berbakti kepada agama, umat manusia, negara dan bangsa, seiring dengan tema `Hidup Biar Berjasa' supaya kita menjadi umat Islam yang cemerlang, seperti dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w. Kamu adalah sebaik-baik umat yang memberi manfaat kepada umat yang lain

Friday, November 12, 2004

Perutusan Aidilfitri




Assalamualaikum.
Salam Aidilfitri, Kullu 'amin Wa Antum Bikhair.
Alhamdulillah, kita berada di penghujung Ramadan. Kita akan menyambut Syawal, satu perayaan yang dikitiraf Islam untuk memberikan kemenangan dan kegembiraan kepada umat Islam.
Brbicara mengenai Aidilfitri ini, kita sepatutnya bergembiralah dalam kesedihan. Gembira kerana kembali kepada fitrah dan sedih setelah berlalunya Ramadan dan ramai lagi umat Islam yang menderita.
Kembali kepada fitrah bermaksud; kita balik, kembali menjadi seperti bayi yang baru dilahirkan, bersih daripada dosa. Ramadan yang dilalui dengan penuh maksimum untuk beribadah dengan niat yang ikhlas akan berupaya menjadikan diri kita kembali bersih dan suci daripada dosa. Tarbiah Ramadanlah yang baik dan sempurna mensucikan kita.
Sedih bermaksud; sedih kerana Ramadan telah berlalu, para Sahabat dahulunya akan menangis kerana Ramadan akan berlalu, dan takut2 kalau tidak dapat berjumpa lagi dengan Ramadan pada masa akan datang. Bersedih juga; dengan suasana umat Islam di seluruh dunia yang masih ditindas. Peristiwa di Fallujah, Palestin dan Tak Bai sepatutnya memberi keinsafan kepada kita semua. Mereka tidak mampu meraikan Aidilfiri seperti kita meraikannya.
Justeru, jadikanlah Aidlfitri kali ini medan bermuhasabah untuk menjadikan kita manusia yang lebih baik dan lebih memikirkan tentang dunia dan nasib manusia yang lain.
Sekian sahaja
Salam Aidilfitri 1425

Sunday, November 07, 2004

SALAM PERKENALAN

Assalamualaikum Wrt Wbt.
Salam perkenalan diucapkan kepada semua.
semoga sentiasa berada dalam rahmat Ilahi dan ceria-ceria selalu.